Tuesday, March 27, 2007

Daruk Takwa Dan Datuk Johar


DARUL TAQWA & DATUK DR JOHAR

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang
dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba?
begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu.
Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"assalmualaiku, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di

Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman."
Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani

menegurku. Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.
"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam
datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan
serban yang melilit kepalanya.
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku
sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru
berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar
langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter
bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet
train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang
layak dipikul oleh manusia-manusia moden.
Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku
sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.
"Hoi budak. Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya
tadi.
Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak.
Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus
menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut
hendak menjawab. Belum sempat,tiba- tiba datang sebuah kereta jenis
Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang
hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.
"Assalamualaikum. ...Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan
membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini.
Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini
menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali
astaghfirullah dan selawat 100 kali."
Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa
namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk
dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung
tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ?
" Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita
selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya
angkuh.
"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan
ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan
matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.
"Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, Kenapa pakcik
pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya
pegawai itu pula.
Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan
ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak
perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan
kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre
Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah. Aku masih
unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia
yang ketinggalan zaman.
"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di
negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "
"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum
berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan
pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya
dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman
peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami
pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam
yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?"
Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi
jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala lumpur.
Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi
itu sahaja, yang lain tak ada.
"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji
Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan
kebersihan lahir batin bandar ini."
Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit
dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa
yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.
"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang,
lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia
dan Akhirat..."
Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh.Nyaring dan jelas.
Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai
penguatkuasa.
"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat
pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di
Akhirat!" rayu lelaki itu.
Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu
diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka
tidak mengejarnya. Ia terlepas ...Lega.Dahaga , lapar mula menggigit tekak
dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia
terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar,
hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin
supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila
datang!"
Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli
menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke
sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya
berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi
kerana lapar ia masuk juga.
"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."
"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada
perempuan."Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada
restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan?
Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!".
Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni kita
sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu.
Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,pemimpin Darul
Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs.Kalau tuan ada isteri
dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus
untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,"terangny a. Mukanya
jernih.Serban dan jubahnya serba putih.
"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis,
sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."
"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya
telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa
ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu...
Subhanallah. ..." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya.
Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.
Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk.
"Nasi beriani sepinggan !"ujarnya kepada pelayan.
"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan.
"Ya ! Apa peliknya?",

"Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan
makan seorang ?" tanya pelayan berkulit hitam itu.
Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati
makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan
dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. ye!
Jijiknya. Ah. Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam
goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.
"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu
dengan sopan.
Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin
lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri
bagai kera sumbang.
" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam
sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang
kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja
"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya sahabatnya di
sebelah.Dia nampak simpati.
Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit
..malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun
tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin
yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah
kita.Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita
ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula
terima sedekah kita."keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda
tadi
"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan
harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada
bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah
bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk
kemaskinikan kementerian- kementeriannya. ... saya nak labur habis-habisan.
Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun
makan dengan perlahan -lahan.
Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada
pelayan restoran.
"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan ... berhentilah sebelum kenyang.Maaf
tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap
pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi.
"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau
dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!"
bentaknya. Marah campur geram.
"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak
dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang.
Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum
kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!"
"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam
aku ini ?" leternya perlahan-lahan.
"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan
edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa
menghidapnya. ...."
"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu
hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya.
"Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan
boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil.
Percuma...
Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang
ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip.
Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu
kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan
kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah
atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan . Dalam
skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul
nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN
NOKTAH PENYESALAN , IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk
tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.
Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak
mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.
Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas
skrin komputer: RAJA'. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya
dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN
JANNAH YANG ABADI�.. Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya
tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?"
tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.
"Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit
anak-anak muda sekarang..."
"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada
sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran
muda-mudi daerah asing itu.
Ayat suci Al-Quran a... "Eh ...ni suara orang mengaji,"

"Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul
lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup
rapat-rapat. Asyik sekali dia.

Kemudian getaran suara bergema
... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
mendamba kasih yang tidak berhujung
mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta.......
stanza hati merindu Ilahi!"
Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan
sajalah ..."
Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar dengan
kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.
"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami
halalkan sajalah."
"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan
berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar
pencuri."
" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong
tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana
takutkan seksa Neraka."
"Ah. Aku tak nak dengar semuanya.makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk
Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan
menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini
tinggi.
Pemandu bullet train berserban merah tersenyumkepadanya. Pilot helikopter
dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang
jalan tertegakpapan iklan dengan tulisan yang jelas :" KELUARGA BAHAGIA
GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan
perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan
berpurdah.
Isy,meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum.
Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini?
Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar
tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba
meletus.
"Datuk..!Datuk. .! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !"
Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya
hari itu.
"Kenapa? Parti kita kalah. Aku kalah? "tanya Datuk Dr. Johar.
"Tidak, untuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak
mahu pilihanraya. .."
"Habis, mereka mahu apa?"
"Mereka mahu Islam, Datuk!"
"Islam ? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya
.

"ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG... ..ITULAH JANJI ILAHI"

2 comments:

muhammad hanif jamaluddin said...

semoga darul taqwa benar2 wujud satu masa nati.aminnnnnn..kita sebagai pelajar islam haruslah mempergiatkan usaha dakwah utuk membentukk sebuah daulah islamiah sepeerti darul taqwa..
hidup islam...
hidup darul taqwa..;>

NurHanisahBtHjMansor said...

insyaAllah akan ada sebuah negara yg mengamalkn gaya dan undang2 islam dlm pntdbiran dan kehidupan.

tegakkan panji islam di muka bumi..