Monday, February 4, 2008

Berdoalah..


DALAM surah al-Mukmin (atau Ghafir) ayat 60 Allah (SWT) berfirman, Berdoalah kepadaku akan Aku perkenankan permintaanmu.”

Di samping berusaha umat Islam disuruh berdoa kerana kecemerlangan dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah doa ialah ibu ibadah. Demikian yang disabdakan Nabi SAW mengikut riwayat Imam Tirmizi. Doa yang rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan.
Perkara ini dinukilkan dalam kitab al-Azkar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, Mintalah kepada Allah (SWT) kurniaannya. Sesungguhnya Allah (SWT) menyukai permohonan (dari hambanya).”

Adab-Adab Berdoa
Doa yang diterima oleh Allah (SWT) ialah doa yang datang dari hati yang khusyuk. Ketika berdoa beberapa adab perlu dijaga agar doa itu diberkati dan dimakbulkan Allah (SWT).
Antara adab-adab itu ialah:

1. Memilih waktu yang mulia.
Antara waktu-waktu istimewa yang baik untuk berdoa, berpandukan hadis-hadis Nabi SAW, ialah di bulan Ramadan, pada hari Jumaat, pada hari Arafah, waktu sahur, ketika sedang berjihad, waktu hujan turun, selepas melaksanakan solat-solat fardu, antara azan dan iqamat, ketika sedang berpuasa dan ketika sedang sujud dalam solat.

2. Merendahkan diri kepada Allah (SWT) dan khusyuk
. Dalam surah Al-A’raf ayat 55 Allah (SWT)“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan takut.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, Berdoalah kepada Allah (SWT) dengan keyakinan bahawa Allah (SWT) akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah (SWT) tidak memperkenankan doa yang datang daripada hati yang lalai.”
berfirman,

3. Bertaubat daripada dosa dan mengembalikan semula hak mereka yang telah dizalimi
. Dosa yang dilakukan akan menjadi benteng yang menghalang penerimaan doa oleh Allah (SWT). Hal ini disebutkan dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi. Allah (SWT) berfirman dalam surah At-Tahrim ayat 8, Wahai mereka yang beriman bertaubatlah kepada Allah (SWT) dengan taubat nasuha (iaitu taubat yang sebenarnya).”

4. Meyakini bahawa doa itu akan diterima
. Maksudnya, hendaklah kita berfikiran positif ketika berdoa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, Berdoalah kepada Allah (SWT) dengan kamu meyakini bahawa ia akan diterima.”

5. Tidak tergesa-gesa
. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, Doa seseorang kamu akan diperkenankan selagi mana dia tidak bersikap tergesa-gesa dengan berkata, ‘Aku telah pun berdoa tetapi nampaknya tidak diperkenankan’.” Mereka yang tergesa-gesa bersikap seolah-olahnya mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Sepatutnya mereka berserah diri kepada Allah (SWT) kerana Allah (SWT) saja yang mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud, Tidak berdoa seseorang hamba di bumi ini melainkan ianya akan diperkenankan Allah (SWT), atau dipalingkan Allah (SWT) satu keburukan daripadanya setimpal dengan apa yang dipohonnya, selama mana dia tidak meminta perkara yang berdosa atau meminta untuk memutuskan tali persaudaraan.”

6. Hendaklah dimulakan sesuatu doa dengan memuji Allah (SWT) dan berselawat ke atas Rasulullah SAW.
Demikian juga adabnya ketika mengakhiri doa itu. Hal ini disebutkan di dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi dan Ihya Ulumuddin oleh Al-Ghazali berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW.

7. Disunatkan mengulang-ulangi sesuatu doa untuk menampakkan kesungguhan.
Hal ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud melalui sahabat Abdullah ibn Masud yang berkata, Sesungguhnya Rasulullah amat gemar mengulang-ulangi doa dan istighfar tiga-tiga kali.”

Punca Doa Tertolak
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda, Sesungguhnya Allah (SWT) itu suci bersih dan Allah (SWT) tidak menerima kecuali yang suci bersih jua”. Dan sesungguhnya Allah (SWT) mengarah orang-orang mukmin dengan sesuatu yang perlu juga dilakukan oleh rasul-rasul. Allah (SWT) berfirman, Wahai rasul-rasul makanlah yang halal dan lakukanlah amalan yang salih.
Allah (SWT) juga berfirman, Wahai mereka yang beriman, makanlah rezeki yang baik-baik yang dikurniakan kepadamu. Terdapat seorang lelaki yang bermusafir jauh sehingga menjadi kusut rambutnya dan berdebu mukanya. Lelaki ini menadahkan tangannya untuk bermohon kepada Allah (SWT) dengan berkata ‘Ya Rab, ya Rab’ sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan doanya? Hadis ini menunjukkan sumber rezeki yang haram menjadi sebab musabab sesuatu doa ditolak oleh Allah (SWT).
Ibrahim ibn Adham pernah pada suatu ketika berada di kota Basrah. Beliau ditanya tentang punca sesuatu doa tidak dimakbulkan oleh Allah (SWT). Beliau berkata,
Pertama, kamu mengenal Allah (SWT) tetapi kamu tidak menunaikan haknya. Kedua, kamu mengatakan bahawa kamu mencintai rasulullah tetapi kamu tidak mengikut sunahnya. Ketiga, kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya. Keempat, kamu menerima nikmat Allah (SWT) tetapi kamu tidak menunaikan syukurnya. Kelima, kamu berkata bahawa syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya. Keenam, kamu berkata bahawa syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya. Ketujuh, kamu berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak melarikan diri daripadanya. Kelapan, kamu berkata bahawa mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya. Kesembilan, kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan tentang keaiban orang lain dan kamu melupakan keaiban dirimu sendiri. Kesepuluh, kamu mengebumikan mayat tetapi kamu tidak mengambil pengajaran darinya.”
(Dari buku ‘Tip-Tip Cemerlang Dari Al-Quran’ oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin)
Nukilan Dr. Danial Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)

0 comments: