Tuesday, March 27, 2007

PENGORBANAN..


"Seorang pemuda sedang dalam satu perjalanan yang
jauh,berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di
satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya
mencari makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda
itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan
merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di
situ.

Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang
memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis
tanamannya
musnah, petani itu hilang kesabaran lalu
membunuh kuda yang memakan tanamannya. Apabila terjaga
dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia
mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak
bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu,
dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia
terus meluru ke sebuah rumah berhampiran. Sebaik saja
menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan
berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu
terbunuh.

Peristiwa itu diketahui orangramai. Pemuda itu dibawa
berjumpa khalifah untuk diadilkan. mengikut hukum
qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah
memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari semalam
sebelum dia dipancung pada jam 5.00 keesokan
petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan
balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu
perkara yang amat mustahak.

Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun
pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil
menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti
dibereskan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji
akan balik segera sebaik saja urusannya selesai.
Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani
itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang
dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman
mati.

Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan
datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan
tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju
mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi
tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah.
Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar,
seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith.
Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan
sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya
yang membahayakan diri sendiri.

Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan
pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat
kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat
janji bahawa dia akan pulang semula untuk dipancung
sebaik sahaja urusannya selesai. Abu Zar faham
kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan
mengakibatkan nyawanya tergadai. Ketika ditanya
Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya
dalam keadaan membahayakan, Abu Zar menerangkan demi
keluhuran Islam, dia sangat malu melihat tiada
siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda
asing itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu
dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu Zar pula
dikurung di penjara.

Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia menuju ke
istana khalifah untuk menyaksikan episod yang
mencemaskan. Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh
kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang
menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saa t yang
mendebarkan berlaku apabila beberapa minit lagi jam
lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu Zar
dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu
menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi
mangsa.

Di saat terakhir, orangramai melihat kelibat seorang
lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang
sekali. Ketika itu riak cemas orangramai bertukar
menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda
itu sampai genap jam lima petang. Pemuda itu lantas
turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana
'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas .
Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai lebih
awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di
tengah perjalanan. Dia menerangkan urusan yang
dikatakannya amat penting dulu ialah kerana terpaksa
menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta
anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada
ibunya.

Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk mengucapkan
terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya
sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat
dilakukan hukuman pancung. Ketika pengawal hendak
menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan
suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan
rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu.
Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat
lega dan terus sujud tanda syukur kepada Allah.

MORAL & IKTIBAR
Peristiwa sebenar ini menggambarkan betapa luhurnya
peribadi individu apabila Islam telah menyelinap di
sanubari mereka.
Seseorang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya demi
menjaga maruah Islam untuk menghulurkan pertolongan
kepada orang yang di dalam kesusahan.
Agama Islam jika diamal dan dihayati sepenuh jiwa dan
raga mampu menjadikan seseorang berakhlak mulia dan
sanggup mati kerana menunaikan janji yang telah
dibuat.
Orang Islam semuanya bersaudara. Sebagai saudara, kita
hendaklah saling bantu-membantu dan sanggup
menghulurkan pertolongan sekiranya saudara kita berada
di dalam kesusahan.
Sebaik-baik mahkamah adalah mahkamah syariat yang 100%
berlandaskan syariat Islam. Hukuman yang dijatuhkan
adalah yang paling adil. Ini adalah kerana hukuman
yang dikenakan adalah setimpal dengan kesalahan dan
selari dengan perintah Allah. Dia menjadikan segala
sesuatu di dunia ini dan Dialah juga yang maha
mengetahui ubat atau penyembuh segala penyakit sosial.

Dalam Islam, bunuh dibalas dengan bunuh. Inilah
keadilah Allah. Manusia yang tidak mengiktiraf hukuman
Allah dan redza dengan keputusan mahkamah yang sekular
jelas membelakang dan mempersendakan Allah. Hukuman
cara sekular tidak menyelesaikan masalah sosial
malahan menambahkan gejala yang lebih teruk. Banyak
kes berlaku di mana orang tidak bersalah dihukum
dengan amat berat manakala orang yang benar-benar
bersalah bebas sebebas-bebasnya seolah-olah tidak
melakukan sebarang kesalahan. Jika hukuman tidak
muktamad di dunia (tidak ikut hukum qisas/hudud),
mereka akan diseret ke mahkamah Allah di akhirat di
mana mereka akan dihukum seadil-adilnya. Sebaliknya
mereka yang telah dihukum di dunia berlandaskan
syariat Islam, dia tidak akan dihakimkan sekali lagi
di akhirat. .Masyarakat dahulu kukuh memegang
nilai-nilai keIslaman tanpa memgutamakan kepentingan
peribadi, keluarga, kroni dan sebagainya. Allah dan
Rasul
dijadikan keutamaan mengatasi perkara-perkara
lain.Masyarakat sekarang jauh menyimpang dari
norma-norma keIslaman yang tulen. Untuk kembali ke
tahap kegemilangan Islam, perlulah menjadikan Allah
dan Rasul sebagai rujukan.

Wallahu 'Alam.


Kata pemikir Islam,"Antara sifat munafik itu ialah menganggap nasihat orang sebagai sindiran padanya ..sebab itu tidak di terimanya".

0 comments: